SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH (1898-1938)

 

”Pada perbicaraan ilmu tauhid pangkal agama Islam. Yang hampir fahamnya dan mengertinya bagi segala awam. Dicadangkan dia bagi mereka yang berkehendak kemenangan lama. Daripada kanak-kanak yang baru belajar di dalam sekolah agama”

Petikan dalam Kitab melatih kanak-kanak lelaki dan perempuan (1930)

 

Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah (JSASS) merupakan jurnal berindeks terbitan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. Penamaan jurnal ini sempena nama moyanganda Baginda Sultan Selangor DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Sultan Hisamuddin Alam Shah ibni Sultan Alauddin Sulaiman Shah.

 

 Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang ditubuhkan di bawah Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 (Akta 555). Penubuhannya secara rasmi pada 15 Februari 1995 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dan MAIS dalam membangunkan agenda pendidikan dan kecermelangan ilmu. Manakala Pusat Pengajian Teras (PPT) ditubuhkan pada tahun 2013 sebagai salah satu cabang institusi kecermelangan ilmu yang dibangunkan dengan aspirasi memangkin kesepaduan ilmu dalam melakar dan  memperkukuhkan jenama KUIS di persada global.

 

Rentetan daripada Seminar Tokoh-Tokoh Ulama Selangor yang dianjurkan oleh KUIS bersempena 60 tahun penubuhan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun 2008, kewujudan dan penetapan nama jurnal ini adalah berpandukan kombinasi kajian dengan merujuk siri penulisan Hj Wan Mohd Saghir Abdullah sebagai sumber primier dan diperkukuhkan dengan sumber sekuder melalui artikel penulisan yang terdapat di dalam prosiding seminar Tokoh Ulama Selangor (2008) dan penulisan bab dalam buku Tokoh-Tokoh Ulama Selangor terbitan KUIS (2011).

 

DYMM Sultan Alauddin Sulaiman Syah ibni Raja Muda Musa ibni Sultan Abdul Samad ibni Raja Abdullah ibni Sultan Ibrahim Syah ibni Sultan Salehuddin Syah/Raja Lumu (Sultan Kerajaan Negeri Selangor yang pertama) ibni Upu Daeng Celak (Yamtuan Muda Kerajaan Riau yang kedua). Baginda merupakan Sultan Selangor yang kelima yang menaiki takhta pada tahun 1898 dan memerintah sehingga tahun 1938. Sepanjang tempoh 40 tahun pemerintahan Baginda Sultan di Selangor, Baginda Sultan amat aktif memperteguhkan Islam di dalam kerajaan melalui pendekatan kesepaduan di antara jalinan umara dan ulama. Dinukilkan dalam lipatan sejarah bahawa Baginda Sultan amat menekankan berkenaan pendidikan dan begitu menitik beratkan perkara berkaitan akidah dan akhlak.

 

Berkesinambungan itu, sejajar dengan aspirasi KUIS bagi melahirkan da`i, ulama dan umara, DYMM Sultan Alauddin Sulaiman Shah dilihat merupakan contoh yang amat tepat dan terbukti penglibatan Baginda Sultan di dalam pelbagai aktiviti Islam;

 

  1. DA`I; Selain menyampaikan khutbah, Baginda Sultan turut berupaya menukilkan buah fikiran melalui beberapa siri penulisan. Di antara kitab karangan Baginda Sultan adalah; a) Kitab Pohon Agama: Bahagian Rukun Iman (terbitan tahun 1919 dan tahun 1930), b) Kitab melatih kanak-kanak lelaki dan perempuan (terbitan tahun 1930), dan c) Nasihat (Pemeliharaan Guru) melatih kelakuan perjalanan adab kanak-kanak pelajaran di dalam Sekolah Melayu Agama (terbitan tahun 1931). Penekanan terhadap aktiviti dakwah turut diterjemahkan melalui keizinan keberangkatan pergi Tokoh Ulama Tengku Muhammad ibni Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani ke Jambi untuk perkembangan Islam di sana.

 

  1. ULAMA; Kesuburan agama di Selangor amat kelihatan melalui kehadiran bertali arus para ulama di Selangor seperti Tengku Mahmud Zuhdi ibni Abdul Rahman al-Fathani dan anakandanya Tengku Muhammad ibni Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Hj Muhammad Nur Bin Hj Ismail (Qadhi Kerajaan Langkat), Syeikh Abdul Ghani Abdul Hamid al-Mandaili al-Khalidi (Khalifah Naqsyabandiyah al-Khalidiyah) dan lain-lain. Kehadiran begitu banyak alim ulama menzahirkan keterbukaan dan kepekaan Baginda Sultan tentang hal-ehwal agama Islam untuk kepentingan umat Islam di Selangor.

 

  1. UMARA; Perletakan asas Islam di dalam sistem pemerintahan terzahir melalui perlantikan ulama sebagai penasihat penting Baginda Sultan, selain menyampaikan nasihat secara langsung kepada rakyat melalui siri khutbah (Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha), siri penulisan, malah pembinaan masjid. Sebagai umara Baginda Sultan menekankan soal pendidikan buat generasi muda dan teras inilah diwarisi oleh zuriat keturunan Baginda Sultan yang berjaya mengembangkan syiar Islam bukan sahaja di negeri ini malah diperingkat rantau ini.

 

Justeru, pendekatan Sultan Alauddin Sulaiman Shah di dalam penerapan Islam di Selangor adalah tauladan yang baik dan bertepatan dengan aspirasi KUIS bagi mengimplementasikan hasrat untuk menjadikan KUIS sebagai lubuk bagi tujuan untuk melahirkan da`i, ulama dan umara. Hal yang sama telah dipraktikkan disepanjang tempoh 40 tahun pemerintahan Baginda Sultan di Selangor.

 

Sebagai seorang umara, Baginda Sultan amat mengasihi ulama dan terlibat secara langsung di dalam aktiviti pendakwahan bagi tujuan memartabatkan Islam di Selangor. Adalah menjadi satu kewajaran bagi KUIS melalui PPT untuk mengabadikan nama Baginda Sultan sebagai tajuk Jurnal berindeks dan bertaraf antarabangsa yang menjadi kebanggaan warga KUIS dan sudah tentu besarlah harapan jawatankuasa pelaksana untuk mendedikasikan jurnal ini buat tatapan sengenap lapisan masyarakat, semoga apa yang diusahakan ini bakal memberatkan timbangan amalan soleh kita di akhirat kelak. Al-Fatihah.

 

Sidang Editorial

Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah (JSASS)